Setitik ilmu yang meresap ke dalam jiwa lebih bermakna daripada beribu-ribu titisan ilmu yang menjadi hiasan di mata.

Khamis, 17 Disember 2015

Kejar Cita Bukan Cinta - Episod 1 Bahagian 1

   Pada awal pagi itu, kelihatan tiga lembaga yang ponteng perhimpunan sedang memasuki kelas 5 Amanah. Salah satu lembaga tersebut membelek-belek beg seseorang manakala satu lagi lembaga memegang ‘sesuatu’ sambil tersenyum. Setelah selesai membelek-belek beg tersebut, mereka memasukkan ‘sesuatu’ ke dalam beg tersebut lalu dizipkan beg itu dengan rapi.

   “Weh, mereka dah datang!” kata salah satu lembaga tersebut lalu melarikan diri.

   Dua lembaga yang sedang ketawa berdekeh-dekeh terus berlari meninggalkan kelas tersebut. Sudah lama mereka merancang ‘projek istimewa’ ini.

__________________________________________________________________________________________
   Suasana di dalam kelas 5 Amanah itu cukup ceria. Ramai yang berbual-bual kosong dan ada juga yang sibuk mengulangkaji pelajaran. Dalam keadaan begitu, tiba-tiba cikgu masuk ke dalam kelas.

   “Bangun, Assalamualaikum cikgu!”. Jerit ketua kelas 5 Amanah yang kemudiannya disambut oleh pelajar yang lain.

   “Waalaikumussalam. Baiklah para pelajar, sila keluarkan kerja yang saya berikan kepada anda semua semalam.” Kata Cikgu Musa yang mengajar subjek Sejarah.

   Para pelajar sibuk mencari buku latihan dalam beg masing-masing. Ada yang mengeluh kerana tugasan yang diberikan tidak dapat disiapkannya dengan sempurna. “Ya lah, subjek Sejarah!” kata mereka. Tetapi ada juga yang tersenyum gembira kerana kerja yang disiapkannya sudah cukup sempurna baginya.

   Amir yang sedang mencari bukunya menjerit apabila melihat begnya dipenuhi dengan katak.

   “Astaghfirullah, apa dah jadi dengan beg kamu ni Amir?” tanya Cikgu Musa.

   Pelajar yang lain menahan ketawa melihat telatah Amir. Amir masih lagi diam seribu bahasa bercampur kehairanan. Mana mungkin beg yang telah dizip dengan baik dan rapi dimasuki katak yang besar. Malah bukannya seekor, tapi enam ekor!

   “Kamu bela katak ye?” Soalan Cikgu Musa tadi terus disambut dengan riang tawa daripada pelajar-pelajar yang lain.

   Amir tertunduk malu mendengar persoalan cikgu tersebut. Dia tahu benar siapa yang melakukan hal tersebut. Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama dia dimalukan sebegitu rupa. Dia bagai sudah ‘masak’ dengan kehidupannya di sekolah. Itulah cabarannya sebagai seorang pelajar di SAM Bukit Kapar.

   Dalam kalangan pelajar yang ketawa tedapat seorang pelajar yang berasa amat simpati dengannya. Pada waktu rehat, pelajar tersebut telah menemui Amir di kantin.

   “Amir, kamu ok tak?” Tanya Zaid.

   Amir yang sedang menikmati hidangan yang dibawanya dari rumah masih lagi diam seribu bahasa.


   “Kenapalah mereka buat macam ni kat kau? Apalah salah kau?” Keluh Zaid. 

- Bersambung -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan